FAQ
Soalan Lazim
Pertubuhan Akademi Profesor Malaysia (Akademi Profesor) adalah Wadah Pemikir yang menyatu kepakaran dan menggembleng pemikiran strategik para profesor dan ilmuwan bagi membangun masyarakat dan negara. Ia ditubuhkan sebagai sebuah badan bukan kerajaan yang didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia dan diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia bagi tujuan saluran komunikasi dan penyelarasan sumber. Keahlian Akademi Profesor berdasarkan merit dan terbuka kepada semua profesor warganegara Malaysia di UA dan IPTS, termasuk mantan profesor. Akademi Profesor bersifat inklusif, bebas tanpa campur tangan politik, berpandukan kepada fakta dan kebenaran, berintegriti tinggi, berwibawa, profesional serta mengamalkan kebebasan akademik yang tulen.
Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 2 November 2018 telah bersetuju dengan pewujudan semula Majlis Profesor Negara (MPN) dengan nama dan struktur baharu serta keahlian yang dipilih berdasarkan merit.
Entiti inihendaklah bebas daripada campurtangan politik atau mana-mana pihak dan diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia. Kewujudan entiti yang baharu ini penting untuk memobilisasikan pengetahuan dan kepakaran
para profesor secara strategik bagi membantu proses pembentukan dasar-dasar Kerajaan serta pelaksanaan programprogram pembangunan negara.
Penubuhan entiti baharu ini bertujuan untuk menggembleng tenaga dan kepakaran profesor di bawah satu platform yang boleh mendukung dan memanfaatkan keupayaan mereka di luar KPI tradisi mereka. Entiti tersebut haruslah
berkembang secara organik serta menjadi institusi profesor yang berintegriti, proaktif dan komited dalam mengintegrasikan kepakaran dan wibawa untuk memartabatkan ilmu, membangun masyarakat dan negara.
Nama entiti baharu yang dipilih ini ialah Akademi Profesor Malaysia (Akademi Profesor). Entiti yang dicadangkan ialah sebuah badan bukan kerajaan (non-governmental organization-NGO) dan berdaftar sebagai organisasi yang sah
di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.
Permohonan pendaftaran Akademi Profesor Malaysia telah diluluskan secara rasmi oleh Pendaftar Pertubuhan pada 26 Mac 2019. Pada 26 Jun 2019 Mesyuarat Jemaah Menteri telah bersetuju dengan penubuhan Akademi Profesor
Malaysia dan juga bersetuju memperuntukkan sejumlah geran pelancaran.
Akademi Profesor akan berperanan sebagai semak dan imbang (check and balance) yang efektif terhadap formulasi dan pelaksanaan dasar kerajaan dan negara.
Aktiviti-aktiviti utama seperti berikut:
- Mengintegrasikan pandangan ilmiah para profesor dan menyebar luas perspektif akademik untuk memberi pencerahan kepada masyarakat dan pembuat dasar mengenai isu-isu strategik negara serta mengusulkan langkah penyelesaian
- Menggembleng wibawa dan kepakaran para profesor bagi membekalkan input dasar dan khidmat nasihat bernilai tinggi dalam konteks formulasi dan pelaksanaan dasar dalam semua bidang ilmu dan kementerian
- melakukan analisis, penilaian serta advokasi dasar berdasarkan bukti, khususnya dalam aspek dasar utama dan bernilai strategik kepada negara
- mengendalikan secara berkala wacana bitara ilmiah yang berorientasikan isu dan konteks dasar
- meneraju aktiviti penyelidikan dasar dan ‘foresighting’, penerbitan ‘policy outlook’ dan membangun jaringan akademik dan
- memajukan integriti akademik dan tadbir urus pendidikan negara (advancing academic integrity and national education governance)
Akademi Profesor Malaysia adalah sebuah badan bukan kerajaan (non-governmental organization-NGO) yang didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, manakala MPN adalah sebuah Syarikat Berhad
Menurut Jaminan (Company Limited by Guarantee) yang berdaftar di bawah Akta Syarikat 1965.
Sebagai sebuah NGO, asas kekuatan dan keberkesanan Akademi Profesor terletak pada keahliannya. Keahlian Akademi Profesor berdasarkan merit dan terbuka kepada semua profesor warganegara Malaysia di UA dan IPTS, termasuk mantan profesor.
Para profesor madya dan profesor bukan warganegara Malaysia boleh memohon menjadi Ahli Bersekutu.
Perlembagaan dan Peraturan Keahlian Akademi Profesor telah menetapkan dengan jelas kriteria, peranan dan tanggungjawab ahli. Kepimpinan tertinggi Akademi Profesor juga dipilih oleh ahli secara langsung dalam Mesyuarat
Agung Tahunan. Sebagai entiti bebas dan berautonomi, Majlis Akademi Profesor Malaysia melapor dan bertanggungjawab terus kepada ahli-ahli akademi melalui Mesyuarat Agung Tahunan. Justeru, ahli-ahli mempunyai
mekanisme dan autoriti untuk mengawal dan memastikan keberkesanan serta arah keutamaan Akademi Profesor berada dilandasan yang sewajarnya.
Keahlian Akademi Profesor adalah berdasarkan permohonan. Ia terbuka kepada semua profesor warganegara Malaysia di UA atau IPTS, baik yang sedang berkhidmat atau telah bersara. Profesor bukan warganegara Malaysia
dan profesor madya boleh memohon menjadi Ahli Bersekutu.
Kelulusan keahlian adalah berdasarkan merit dan kelayakan yang ditetapkan dalam Perlembagaan dan Peraturan Keahlian Akademi Profesor. Bayaran permohonan dan yuran keahlian tahunan ditetapkan bagi menjamin ciri-ciri
prestij organisasi. Pemilihan ahli Kepimpinan Tertinggi yang akan membentuk Majlis Akademi Profesor dilakukan setiap 2 tahun sekali dalam Mesyuarat Agung Tahunan Akademi.
Keahlian Majlis Akademi Profesor Malaysia terdiri dari Presiden, Timbalan Presiden, Setiausaha Agung, Timbalan Setiausaha Agung, Bendahari, Ketua-Ketua Kluster dan keahlian lain. Konsep kluster dalam Akademi Profesor
adalah berdasarkan tema (thematic-based clusters) dimana setiap kluster menghimpunkan beberapa domain ilmu (korpus ilmu) yang relatif homogen. Walau bagaimanapun, domain-domain ilmu ini juga membentuk komponen
Akademi Profesor yang penting, yang mana setiap Domain Ilmu ini bersifat mandiri dan diketuai seorang Pengerusi Domain yang akan dilantik oleh Majlis Akademi Profesor.
Kerajaan telah bersetuju memperuntukkan dana pendahuluan (seed money) untuk menggerakkan operasi asas tahun pertama dan kedua. Selepas tahun kedua Akademi Profesor dijangka berupaya untuk mandiri dari segi kewangan. Sumber-sumber utama dana dijangka diperoleh dari endowmen, pendanaan masyarakat, geran penyelidikan, perundingan, “signature reports”, selain dari yuran keahlian
Sebagai sebuah NGO, Akademi Profesor berperanan secara bebas dari campurtangan kerajaan atau pengaruh manamana pihak dari segi pemilihan ahli dan kepimpinan, penentuan domain ilmu, kluster, dan aktiviti.
Akademi Profesor Malaysia diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan dalam ertikata terdapat keterkaitan atau sokongan kerajaan dalam penempatan kakitangan sekretariat termasuk peminjaman seorang profesor dari UA
(dipilih oleh ahli dalam Mesyuarat Agung) untuk berkhidmat sepenuh masa sebagai Setiausaha Agung. Ia juga bagi memudahkan saluran komunikasi dan penyelarasan sumber manusia. Dalam jangka waktu yang munasabah, pejabat
urusan Akademi Profesor akan ditempatkan di salah satu UA. Selain itu Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan juga akan menggalakkan universiti-universiti awam dan swasta untuk menyumbang dari segi pendanaan dan
prasarana/kemudahan bagi memudahkan operasi Akademi Profesor.
Secara tradisi, aktiviti para profesor di universiti lebih menumpu kepada pencapaian KPI konvensional berteraskan akademik (academic-based KPIs) yang merangkum pengajaran, penyelidikan, penyeliaan, dan penerbitan. Peranan
para profesor dalam penyelidikan dan memberi input dasar pembangunan dan pembinaan negara masih sangat terbatas. Akademi Profesor Malaysia bertekad menjadi wadah untuk menggembleng pengetahuan dan kepakaran para profesor
dari pelbagai bidang secara sistematik ke arah formulasi dan advokasi dasar yang bernilai tinggi (provision of high level policy inputs).
Akademi Profesor Malaysia akan menerajui penyelidikan-penyelidikan dasar yang bersifat strategik seperti Policy Outlook dan Foresighting dengan kerjasama badan-badan pemikir serta agensi-agensi kerajaan yang lain.
Konsep Felo diperkenalkan dalam Akademi Profesor dimana ahli-ahli biasa boleh memohon untuk ditingkatkan kepada tahap Felo. Akademi Profesor juga akan mempelawa Felo Kehormat dan Felo Ulung Kehormat dari kalangan
kenamaan akademik atau tokoh-tokoh masyarakat yang telah menunjukkan sumbangan dan jasa yang cemerlang terhadap pembangunan akademik negara serta mempunyai kapasiti untuk menyumbang secara signifikan kepada Akademi Profesor.
Akademi Profesor juga beraspirasi untuk bergerak ke arah menjadi sebuah entiti statutori tersendiri bagi menggembleng wibawa dan kepakaran para profesor untuk menjalankan fungsi-fungsinya dengan lebih sistematik dan efektif.
Dengan gagasan di atas, diharapkan ia akan merangsang minat, komitmen, dan keterlibatan para profesor dalam Akademi Profesor Malaysia.
Sebagai sebuah NGO, Akademi Profesor berperanan secara bebas dari campurtangan kerajaan atau pengaruh manamana pihak dari segi pemilihan ahli dan kepimpinan, penentuan domain ilmu, kluster, dan aktiviti.
Buku melambangkan himpunan dan penghayatan keilmuan. Mata pena menggambarkan keobjektifan dan kejituan advokasi ilmu untuk kesejahteraan masyarakat. Kepelbagaian warna merujuk kepada diversiti ilmu manakala
lambang bumi memberi erti sejagat, universal dan keterangkuman.
Akademi Profesor Malaysia
M-2-08, Conezion Commercial,
Persiaran IRC 3, IOI Resort City,
62502 Putrajaya, MALAYSIA
+603 - 8685 4459
Sebarang pertanyaan sila hubungi:
Setiausaha Agung APM :
sua@akademiprofesor.org.my
akademiprofesor@gmail.com