Terdapat beberapa desakan daripada pelbagai kelompok dalam masyarakat ke atas kerajaan agar membenarkan pengeluaran dalam Akaun 1 KWSP bagi menghadapi kesan-kesan ekonomi akibat pandemik Covid-19. Pada pandangan Akaemi Profesor Malaysia, secara prinsip, suasana luar biasa yang kita hadapi akibat pandemik Covid-19 memerlukan juga cara mitigasi yang luar biasa, termasuklah membenarkan pengeluaran Akaun 1. Namun dalam mendepani desakan di atas, APM berpandangan sangat penting pihak kerajaan mengambil pendekatan yang menyeimbangkan di antara keperluan pelaburan jangkapanjang dari Dana Persaraan, kecukupan kecairan untuk komitmen pembayaran semasa, kuantum pengeluaran baharu yang mendesak akibat pandemik Covid-19, serta tidak kurang pentingnya implikasi terhadap kesejahteraan ekonomi pencarum dihari-hari persaraan mereka.

APM berpandangan jalan tengah yang boleh diambil KWSP ialah untuk mewujudkan mekanisme yang tidak rentan kepada penyalahgunaan. Ini bermakna kebenaran boleh diberikan secara bersyarat, bukan secara “one-off” begitu sahaja. Sebagai contoh, bagi kes pinjaman gadai janji, ia boleh diberikan kepada pencarum/pemohon yang menunjukkan bukti aset cagaran sangat mungkin akan dilelong oleh pihak Bank jika pinjaman gagal dilunasi, serta juga bukti cara-cara penyelesaian alternatif telah menemui jalan buntu. Sejajar dengan ini, pihak KWSP juga perlu membuat pembayaran secara langsung kepada institusi kewangan yang berkenaan. Oleh sebab kebenaran mengeluarkan Akaun 1 ini memberikan impak besar ke atas wang simpanan selepas persaraan, para pencarum dinasihati mengambil sikap berhati-hati dan berhemah, serta mempertimbangkan implikasi terhadap diri dan keluarga semasa persaraan kelak.

Meskipun APM menyokong pengeluaran Akaun 1 berdasarkan beberapa pertimbangan di atas, kebenaran ini perlu dilihat sebagai pilihan terakhir yang boleh dilakukan pihak kerajaan. Pada pandangan APM juga, masih terdapat ruang untuk pihak bank melanjutkan moratorium pinjaman bersasar sehingga suku pertama atau kedua 2021. Aspek ini wajar dipertimbangkan dalam penyediaan Bajet 2021.

Dengan memandang ke depan, antara langkah yang lebih mampan yang boleh dilaksanakan kerajaan termasuklah mewujudkan Dana Jaringan Keselamatan Sosial yang akan menyalurkan pelbagai bantuan, sama ada tunai atau bukan tunai kepada golongan yang rentan terhadap krisis ekonomi. Sebagai tambahan, pendekatan nyah pusat khususnya ekonomi berasaskan komuniti setempat perlu diperkasakan dengan amalan-amalan terbaik atau rangsangan tertentu. Ini merangkum pendekatan zakat, infak/hibah, koperasi, tolong-menolong, dan juga dana-dana dari aset wakaf. Seiring dengan ini, institusi mesjid atau surau disarankan membangun pangkalan data untuk mengenalpasti permasalahan-permasalahan kesejahteraan mikro atau kecederaan ekonomi yang dialami ahli-ahli kariah masing-masing.

Salam hormat,
Prof. Dato’ Sri Dr. Daeng Nasir Daeng Ibrahim, Presiden
Prof. Dr. Jamal Othman, Timbalan Presiden
Prof. Dr. Abdullah Mohd Zain, Setiausaha Agung