Pada 7 November 2020, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa semua negeri kecuali Perlis, Pahang, Kelantan akan ditempatkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selama empat minggu dari 9 November hingga 6 Disember.
Susulan pengumuman ini, beberapa badan profesional dan individu menyuarakan pandangan dan cadangan mereka di media. Banyak yang berpendapat bahawa oleh sebab kadar jangkitan yang tinggi di beberapa tempat dan bukan di tempat lain, pendekatan PKP yang lebih bersasar harus dilaksanakan sebagai ganti. Mereka juga menekankan perlunya meneruskan promosi kesihatan melalui pesanan yang tegas untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) berikutan pematuhan yang kini semakin longgar dalam kalangan rakyat Malaysia yang berada pada bulan kesembilan dalam pelbagai tahap PKP.
Pada 11 November, kadar kematian kes adalah 0.7%, yang lebih baik daripada 9 April yang mencatatkan 1.58%. Sebilangan besar kematian adalah di antara mereka yang berumur 60 tahun dan ke atas yang kebanyakannya mempunyai beberapa masalah kesihatan. Pada 7 November, kadar jangkitan telah berkurang menjadi 1.0 daripada 1.5 yang dicatatkan pada permulaan gelombang ketiga pada bulan September.
Pada masa yang sama, kenyataan Akademi Perubatan Malaysia pada 10 November, menekankan bahawa kadar jangkitan tidak sama untuk semua negeri. Kadarnya lebih tinggi di Sabah, Labuan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang sedangkan Selangor, Putrajaya, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur menunjukkan trend penurunan.
APM prihatin terhadap pelaksanaan PKPB semasa di mana APM berpandangan bahawa sekatan yang dilaksanakan terlalu ketat dan berpanjangan yang boleh menyebabkan kesulitan ekonomi, sosial dan kesihatan kepada orang ramai. Yang menjadi perhatian khusus adalah penjagaan pesakit dengan penyakit kronik seperti kardiovaskular, barah, penyakit endokrin dan serebrovaskular yang tidak datang untuk pemeriksaan susulan atau mereka yang datang itu sudah terlambat untuk diselamatkan. Pada tahun 2018, satu jumlah yang mengejutkan iaitu 18,267 orang meninggal dunia di Malaysia akibat penyakit jantung iskemik dengan purata 50 kematian sehari yang berlaku tanpa sekatan pergerakan atau penjagaan kesihatan.
Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) tidak menganjurkan perintah berkurung sebagai kaedah utama untuk mengawal COVID-19. Pengecualian diberikan sekiranya terdapat keperluan untuk memperuntukkan masa untuk merombak semula, menyusun semula, mengimbangi semula sumber-sumber dan untuk melindungi pekerja kesihatan yang keletihan. WHO juga mengulangi bahawa perintah pengurungan hanya menjadikan orang miskin bertambah miskin dan terdapat kebimbangan akan kemungkinan peningkatan sekali ganda kemiskinan dunia dan malnutrisi kanak-kanak pada tahun 2021.
Kajian menunjukkan pendedahan rapat kepada anggota isirumah dan jiran yang bekerja telah membawa kepada peningkatan kematian COVID-19 dalam kalangan orang dewasa yang lebih tua. Ini menunjukkan bahawa perlindungan berfokus untuk melindungi kumpulan sedemikian harus menjadi strategi, bukan pengurungan nasional seperti yang diamalkan di banyak negara.
Kebimbangan ini ditambah pula dengan kesan terhadap kesihatan mental daripada kegelisahan, ketakutan, kebimbangan dan tekanan disebabkan oleh ketidakpastian yang dikenakan oleh beberapa fasa PKP terutamanya ke atas pekerjaan, persekolahan dan kurangnya hubungan sosial. Manusia tidak dijadikan untuk bersendirian, kehidupan mereka didasarkan pada interaksi secara bersemuka dan integrasi komuniti. Oleh itu, melucutkan mereka daripada keperluan ini boleh menyebabkan masalah lain.
The Great Barrington Declaration yang ditandatangani oleh hampir 6,000 saintis dan pakar perubatan di seluruh dunia serta 50,000 orang awam pada 4 Oktober 2020 berpendapat bahawa dasar pengurungan yang dilaksanakan sehingga vaksin ditemui akan menyebabkan “kerosakan yang tidak dapat diperbaiki, dengan orang yang kurang bernasib baik mengalami kemudaratan yang lebih besar. Mereka menunjukkan bahawa risiko dari coronavirus adalah 1,000 kali lebih besar untuk orang tua dan orang yang lemah, dengan anak-anak lebih berisiko terkena selesema berbanding COVID-19.
Berdasarkan kebimbangan ini, APM ingin mencadangkan langkah-langkah berikut:
1. Zon Merah untuk kawasan dengan lebih daripada 40 kes baharu dalam sehari harus terus berada di bawah PKPD tetapi seluruh negara harus kembali ke PKPP. Akronim ini sebaiknya digantikan dengan kod nombor untuk mengelakkan kesalahfahaman.
2. Pengesanan berterusan wabak setempat (kluster) harus diteruskan. Namun, oleh sebab kadar survival jangkitan COVID-19 adalah 99.9% untuk orang yang sihat di bawah umur 70 tahun, dan untuk mencapai keseimbangan optimum antara kesihatan, kesejahteraan sosial dan ekonomi, penekanan harus diberikan pada “perlindungan berfokus” dan “pendekatan bersasar” bagi mereka yang berisiko sementara membenarkan mereka yang kurang rentan untuk bekerja dan bersekolah.
a. Orang dewasa yang mudah dan sihat, dan kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke atas harus dibenarkan masing-masing untuk kembali bekerja dan ke sekolah.
b. Orang yang mempunyai beberapa masalah kesihatan tanpa mengira usia dan orang tua harus kekal di rumah.
c. Mereka yang pergi bekerja dan ke sekolah harus diajar cara membersihkan diri dan cara mendekati anggota keluarga yang rentan ketika mereka pulang ke rumah. Langkah-langkah ini harus diajarkan di media, di tempat kerja dan di sekolah.
3. Seperti yang disarankan sebelumnya, rakyat harus diajar dan terus diingatkan untuk memikul tanggungjawab bagi melindungi diri daripada COVID-19 dengan mempraktikkan 3W dan 3C sebagai norma harian.
Orang ramai juga harus dididik mengenai tahap risiko mendapat jangkitan dari pelbagai aktiviti sehingga dapat mengelakkan aktiviti yang berisiko tinggi misalnya menghindari bar, perjumpaan rapat dan pesta di dalam banggunan, serta makan di dalam restoran yang sesak. Aktiviti di luar dengan penjarakan sosial secara umumnya berisiko rendah dan bersenam di luar harus digalakkan kerana kita memerlukan cahaya matahari untuk menghasilkan Vitamin D.
4. SOP perlu didefinisikan dengan baik, lengkap dan tepat untuk mengelakkan kekeliruan. Sebagai contoh, kesalahpahaman mengenai penggunaan topeng semasa mengisi petrol di stesen minyak, dan sekatan untuk berjalan bersama dan makan di satu meja di restoran sedangkan kumpulan itu mungkin datang dari isirumah yang sama, maka berkongsi persekitaran dan udara yang sama. Sekatan seperti itu boleh meningkatkan risiko kemurungan, kelesuan, dan perselisihan keluarga disebabkan pengurungan yang terlalu lama.
5. Pendidikan nutrisi tentang makanan yang betul akan membantu pengembangan sistem imun yang lebih kuat. Dapatkan ahli nutrisi dan pakar diet untuk bercakap di media bagi memberitahu orang ramai apa yang harus dimakan, bagaimana menyediakan bahan dan memasak serta bila masanya untuk makan yang sama pentingnya dengan menunjukkan kepada orang bagaimana untuk bersenam pada waktu pagi.
6. Penciptaan platform untuk orang yang mempunyai masalah kesihatan mental untuk berhubung sama ada di peringkat universiti, penjagaan kesihatan, organisasi bahkan individu dan jika boleh jadikan ia percuma agar sesiapa sahaja boleh mendapatkan bantuan apabila diperlukan.
7. Pesanan untuk menjaga keselamatan golongan yang rentan dan berisiko tinggi harus sentiasa ditegaskan kembali dan disebarkan kepada orang ramai melalui media. Penting untuk memastikan bahawa orang yang berumur 70 tahun dan ke atas dan sesiapa sahaja yang mempunyai penyakit kronik untuk tidak dijangkiti.
Kami percaya setiap orang harus belajar untuk hidup dengan COVID-19, perlu rasa takut dan berhati-hati dengannya, tetapi “hidup dengannya” kerana kehidupan perlu berjalan dengan tenang, tetapi ia pasti dapat dilaksanakan.
Kepada semua barisan hadapan, terutama yang berada di sektor kesihatan, kami ingin anda tahu bahawa anggota APM dan rakyat sangat menghargai sumbangan dan pengorbanan anda yang telah bekerja melangkaui tuntutan tugas untuk berbakti kepada negara walaupun menghadapi pelbagai cabaran yang sukar.
Salam Hormat,
Prof. Dato’ Sri Dr. Daeng Nasir Daeng Ibrahim, Presiden Akademi Profesor Malaysia
Prof. Dr. Adlina Suleiman, Ketua Kluster Perubatan dan Kesihatan, Akademi Profesor Malaysia
Prof. Dr. Jamal Othman, Ketua Kluster Ekonomi dan Kesejahteraan Sosial, Akademi Profesor Malaysia
