Fatimah Mohamed Arshad

Musim demi musim, dari tahun ke tahun, petani padi sering resah dan gusar kerana nilai hasil jualan padi dipotong tinggi oleh pengilang kerana padi yang tidak bermutu. Potongan tinggi mengurangkan nilai jualan mereka lantas menjejaskan keuntungan bersih mereka setelah ditolak kos pengeluran.

Mengikut petani, jeda potongan harga mencapai antara 20% hingga 70% daripada hasil jualan padi. Kini, petani mengadu purata potongan adalah lebih 30% iaitu hampir sepertiga daripada untung kasar mereka.

Walaupun penjenteraan dalam persawahan padi meningkat, tetapi purata potongan adalah lebih 20% berbanding 14-17% dalam 1970an dan 1980a. Huraian berikut memberi beberapa pencerahan ke atas gejala ini.

Masalah yang dihadapi petani adalah: “ketepatan” ukuran potongan dan “kejujuran” pengilang dalam meletakkan kadar potongan.

“Ketepatan” kiraan kadar potongan merujuk kepada aspek kualiti padi seperti kandungan kelembapan, padi rosak, padi muda dan kandungan butiran bukan padi. Kerajaan ada menyediakan jadual panduan potongan untuk penggunaan pembeli dan petani.

“Ketepatanan” ukuran kualiti adalah isu saintifik. Ketepatan penentuan kualiti bergantung kepada kaedah pengukuran sama ada menggunakan alat sensor tertentu dan juga secara optikal. Nyata peralatan yang digunakan sekarang tidak begitu meyakinkan kerana ia memberi bacaan yang berbeza-beza ke atas satu sampel yang sama. Pengilang menggunakan peralatan ini bersama penilaian optikal dan pengalaman.

Masalah “kewajaran” atau “kejujuran” kiraan kadar potongan yang dianggarkan oleh pengilang swasta dan BERNAS adalah isu kegusaran petani sekian lama. Petani berpandangan kebanyakan masa pengilang mengenakan potongan yang berlebihan daripada yang sepatutnya.
Faktor yang menentukan kualiti padi petani dan anggaran kualiti oleh pembeli adalah berbeza.

Kualiti padi petani ditentukan oleh pelbagai dimensi; pertama cuaca, kedua, amalan persawahan, ketiga mesin penuaian, dan keempat, ketersedian insentif untuk mengering.

Impak faktor cuaca adalah di luar kawalan petani seperti hujan, banjir, kemarau, serangan penyakit dan perosak dsbnya.

Amalan persawahan merangkumi kualiti benih, pengurusan air, penggunaan baja. Amalan pertanian lapuk menyebabkan tuaian muda, tuaian basah dan pengasingan hampa tidak cekap dsbnya.

Penggunaan mesin tuai gandum yang sangat besar ke atas sawah kecil memberi pelbagai kesan. Selain merosakkan tanah, kadar tumpahan atau kehilangan padi sebanyak 20% di sawah. Ini mengurangkan kuantiti jualan padi mereka kepada pengilang. Juga, oleh kerana bilangan mesin tuai terhad, petani terpaksa membayar kepada penyedia khidmat mesin tuai sama ada mengikut berat padi atau mengikut jam. Oleh kerana padi harus dituai dengan cepat, maka petani terdesak menuai padi dalam jangka waktu yang pantas untuk mengelakkan hujan dan penurunan kualiti. Lantas, kegiatan menuai yang tergesa-gesa ini bukan satu proses yang terancang dan cekap.

Petani tidak memiliki insentif untuk mengering padi kerana kos mesin pengeringan tinggi dan keterdesakan wang untuk membayar hutang.

Peranan BERNAS sebagai pembeli terakhir padi yang bermutu rendah adalah polisi yang menggalakkan petani mengabaikan keperluan pengeringan di tahap sawah. Ini kerana BERNAS akan membeli padi yang tidak berkualit pada apa jua tahap. Lazimnya kos padi yang tidak bermutu dipindahkan kepada pengguna melalui kegiatan mencampurkan beras hancur dengan beras bermutu untuk mempertahankan margin.

Sebaliknya anggaran kadar potongan padi oleh pengilang bergantung kepada faktor berikut.

Pertama, situasi pasaran beras dan kesannya ke atas margin. Iaitu jika inventori beras dalam pasaran adalah tinggi (termasuk beras import, ini akan mengurangkan margin mereka). Dalam situasi sebegini, pengilang akan mengenakan kadar potongan yang tinggi untuk memelihara margin mereka. Ketidaktepatan kaedah mengira kualiti padi hanya memudahkan pengilang untuk manipulasi kadar potongan.

Kedua, kadar potongan juga ditentukan oleh harga runcit. Semenjak kenaikan Harga Minimum Terjamin (HMT) daripada RM750 setan kepada RM1,200 setan pada tahun 2014, margin pengilang telah menguncup kerana harga runcit beras tidak berubah. Iaitu harga SST5% adalah RN2.60/kg dan SST10%, RM2.40/kg. Maka pengilang telah menggunakan kadar potongan padi untuk menjaga margin keuntungan mereka. Ambil maklum juga kenaikan HMT telah menutup kebanyakan kilang kecil beras. Dalam kata ringkas, polisi harga juga menyumbang kepada masalah isu potongan padi ini.

Ketiga, kuasa pasaran pengilang. Berbeza dengan sektor kilang beras dalam 1970an di mana terdapat banyak kilang koperasi kecil (berjumlah hampir seribu kilang). Sebaliknya sektor kilang semasa adalah sangat berpusat atau concentrated iaitu sekitar 200 kilang. Iaitu lazimnya petani tidak memiliki pilihan yang banyak untuk menjual padi. Dengan kuantiti padi yang kecil, petani tidak setaraf dengan kilang besar untuk berunding atau menentang keputusan muktamad pengilang kerana tiada pilihan lain.

Malangnya isu dan keresahan penting ini tidak berlapikkan data yang jitu. Tiada rumusan data berterusan mengenai potongan padi bulanan atau tahunan dan trendnya, ikut kawasan, varieti padi, pengilang swasta dan BERNAS. Data hanya dikeluarkan apabila petani membuat aduan di media. Data ini perlu dianalisis dari masa ke semasa dan telus kepada kesemua pihak, petani, pengilang dan kerajaan untuk mendapat gambaran jelas isu ini dan memantau situasi.

BERNAS yang bertanggungjawab dalam mengagihkan subsidi harga padi kepada petani memiliki data ini. Maka adalah wajar supaya analisis yang dicadangkan di atas dibuat demi ketelusan untuk semua.

Jalan penyelesaian terletak kepada perkara berikut. Pertama, petani perlu digalakkan mengering padi sendiri sama ada menggunakan mesin kering kecil melalui koperasi atau PPK.

Kedua, perkenalkan semula kilang beras kecil untuk kegunaan petani sama ada secara persendirian atau koperasi, kumpulan petani dan PPK. Ini untuk meningkatkan persaingan dan memberi peluang kepada petani menambahkan pendapatan dalam kegiatan nilai tambah.

Apabila persaingan wujud, kadar potongan akan menjadi “kompetitif” dan tidak mudah dimanipulasikan kerana ramai pesaing. Pada masa yang sama, lebih ramai pengilang, keuntungan dikongsikan oleh ramai peserta dan tidak terbatas kepada pegilang besar sahaja.

Dicadangkan supaya insentif diberi kepada kumpulan untuk membeli mesin pengering kecil dan/atau mesin beras. Insentif dan latihan diberi supaya koperasi petani menjadi lebih efektif untuk menggalakkan petani bersepadu tenaga dan sumber untuk menceburi kegiatan nilai tambah.

Ketiga, dicadangkan supaya mesin tuai padi yang kecil dan sederhana di uji dan digunakan dan tidak lagi mesin gandum besar-besar dan usang. Ini akan membolehkan petani merancang dan mengawal kualiti.

Keempat, kawalan kuantiti perlu dipantau supaya tidak menyebabkan lambakan sehingga mendorong pengilang meninggikan potongan kerana beras import lebih murah untuk dibungkus dan dijual.

Kelima, aplikasi block chain adalah penyelesaian yang terbaik untuk mewujudkan ketelusan dan kecekapan sistem. Oleh kerana teknologi ini masih jauh untuk difahami oleh peserta pasaran, dicadangkan supaya satu aplikasi dibina iaitu “Aplikasi Potongan Padi “ untuk merekodkan kadar potongan yang dijangkakan oleh petani, yang dikira oleh alat pengesan mutu padi dan kadar potongan yang ditetapkan oleh semua pengilang.

Faedah aplikasi ini adalah;
i) mengetahui perbezaan anggaran potongan padi oleh petani, yang dicaj oleh pengilang
ii) meneliti pola dan variasi potongan padi ikut lokasi, masa, varieti padi dan kilang.
iii) memantau amalan potongan yang tinggi di kalangan pengilang.

Nyata, bahawa isu pemutuan padi bukan bererti menyediakan jadual potongan dan kawalan tetapi ia melibatkan perubahan struktur seperti keperluan persaingan, memperbaiki amalan persawahan, penggunaan mesin atau jentera kecil yang sesuai dengan sawah kecil dan insentif untuk kepada petani untuk mengering dan mengilang beras.
……….
Artikel ini diterbitkan dalam ruangan Rencana Utusan, 31 Disember 2020.