KENYATAAN MEDIA PRESIDEN AKADEMI PROFESOR MALAYSIA SEMPENA PERUTUSAN TAHUN BAHARU 2023 MENTERI PENDIDIKAN TINGGI
Akademi Profesor Malaysia (APM) mengucapkan jutaan tahniah kepada Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin atas perutusan tahun baharu 2023 yang berwawasan jauh dengan hala tuju yang jelas bagi melonjakkan sektor pendidikan tinggi Malaysia ke tahap yang tertinggi.
APM sebagai satu wadah pemikir yang menggembleng kepakaran Profesor dan ilmuwan negara bersedia memainkan peranan membina dan mendukung kesemua 11 perkara fokus yang telah digariskan. APM turut mengalu-alukan penubuhan Jawatankuasa Menyemak dan Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional bagi memberi nafas baharu kepada dasar yang lebih lestari dan kontemporari serta berupaya merealisasikan aspirasi nasional.
APM mendukung penuh hasrat KPT dalam bersikap professional, adil, objektif dan polos politik dalam menterjemah dasar dan program nasional. Ia bertepatan dengan misi APM sebagai pembekal input dasar utama dan advokasi kesejahteraan masyarakat berdasarkan fakta dan kebenaran, serta semak dan imbang yang efektif terhadap formulasi dan perlaksanaan dasar kerajaan dan negara.
APM menyeru semua ahli khususnya, dan warga akademia amnya untuk sama-sama berganding bahu bersama KPT dan memberi sokongan padu dalam merealisasikan azam yang digariskan dalam perutusan ini.
APM mengucapkan selamat maju jaya kepada KPT. Semoga hasrat murni bagi memulihkan kepercayaan kepada pendidikan tinggi negara akan tercapai bersama.
Prof. Dato Ir. Dr. Mohd Saleh Jaafar, FASc, FAPM, FIEM, DSIS Presiden Akademi Profesor Malaysia.
