Akademi Profesor Malaysia (APM) ingin mengemukakan pandangan rasmi mengenai isu-isu kontroversial yang sedang menjadi tumpuan, terutama berkaitan dengan gelaran 'Profesor Kangkung'. Istilah tersebut lazimnya merujuk kepada ahli akademik berpangkat profesor yang bertindak tidak menepati jangkaan ilmu yang dimiliki atau tidak memberikan sumbangan yang signifikan dalam bidang keilmuan masing-masing.
Setelah mengadakan perbincangan, Akademi Profesor Malaysia (APM) berpandangan bahawa:
1. Isu ini memberi persepsi negatif terhadap kewibawaan para profesor, terutamanya dalam hal penglibatan mereka dalam menangani isu-isu masyarakat dan sumbangan terhadap pembangunan negara. Kenyataan tersebut walau bagaimanapun tidak menggambarkan pendirian APM. APM menganggap ianya tidak mencerminkan keadaan sebenar berhubung kualiti profesor. Sebaliknya ianya isu remeh yang masih muncul di peringkat tempatan, terutamanya yang dikemukakan oleh kalangan tertentu yang kecewa atau persepsi awam yang dapat mengelirukan masyarakat.
2. APM menyeru semua untuk meneliti lebih mendalam kelaziman dalam pembangunan kerjaya akademik dan menghayati cabarannya. APM percaya bahawa setiap profesion termasuk profesor, menghadapi cabaran unik. Proses untuk menghasilkan calon akademik yang berkualiti bukanlah satu proses yang mudah. Proses pengambilan ahli akademik dimulai dengan memilih graduan terbaik, terutama yang mencapai Kelas Pertama dan Kelas Kedua Atas. Lazimnya, mereka menjalani latihan penyelidikan di luar negara sebelum dilantik sebagai pensyarah. Pengesahan jawatan berlaku dalam satu hingga tiga tahun, diikuti dengan bukti kepakaran melalui pengajaran, penyelidikan, penerbitan, khidmat masyarakat dan penilaian akademik senior sebelum dinaikkan pangkat ke Profesor Madya. Pengiktirafan penuh sebagai Profesor hanya berlaku selepas beberapa tahun, di mana calon Profesor perlu memenuhi kriteria piawai dan sokongan pakar bidang. Jika tiada keghairahan untuk meneroka ilmu dan kecintaan untuk mendidik pemimpin masa hadapan, kerjaya sebagai ahli akademik adalah tidak berbaloi. Ahli akademik adalah ilmuwan dan sarjana yang sepatutnya dihargai.
3. APM menegaskan bahawa kewibawaan akademia tidak hanya bergantung kepada pengiktirafan dalam pengajaran dan penerbitan. Penyelidikan dan penjanaan ilmu baharu serta sumbangan kepada masyarakat dan pembangunan negara, turut menjadi aspek penting dalam menilai kewibawaan akademik. Oleh itu, melalui Kertas Pendirian Kewibawaan Akademia: Mendepani Cabaran Ketidakpastian yang telah dihantar kepada pihak kerajaan, APM mengemukakan beberapa cadangan untuk memperkasa kewibawaan akademia dan menjadikan pendidikan tinggi lebih relevan.
4. APM menggariskan kepentingan tata kelola yang baik dalam sistem pendidikan tinggi dan menyokong usaha melakukan pindaan kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Autonomi dan empowerment harus diberikan kepada Lembaga Pengarah Universiti untuk memastikan pemilihan dan lantikan pemimpin tidak terpengaruh oleh faktor politik. APM juga menggesa perlantikan pemimpin haruslah berdasarkan merit demi mencapai keseimbangan antara kepemimpinan akademik dan institusi.
5. APM mencadangkan untuk menubuhkan Suruhanjaya Pendidikan Tinggi (SPT) sebagai satu langkah penting untuk menetapkan halatuju pendidikan tinggi negara dan memastikan kualiti kecemerlangan melalui pemantauan berkala. APM menggariskan perlunya penilaian prestasi yang objektif dan adil dalam setiap institusi, dengan mematuhi panduan yang ditetapkan oleh SPT.
6. Dalam kerangka kenaikan pangkat, APM menekankan perlunya keadilan, konsistensi, dan kualiti dalam pengembangan karier akademik. Sistem trek kepakaran akademik (DCP/ Differentiated Career Pathway) perlu diteliti, serta keseragaman baseline kenaikan pangkat ke gred Profesor berdasarkan DCP juga perlu ditekankan untuk menjaga kualiti profesor pada masa akan datang. Untuk memperkukuhkan nilai dan integriti akademia, perlunya "Baseline Index Amanah" yang menekankan pendekatan pendidikan berasaskan nilai dan pengurusan bakat akademik berdasarkan kompetensi.
7. Profesor, sebagai barisan utama dalam pendidikan tinggi, perlu menyerlahkan kepakaran melalui penulisan khususnya implikasi terhadap dasar dan industri atau pemegang taruh. Ia seharusnya diberi penekanan yang sama dalam penilaian permohonan jawatan profesor dengan penulisan yang berorientasi akademik atau kesarjanaan semata-mata.
8. Dalam konteks penulisan ilmiah, APM berpendirian bahawa setiap ahli akademik yang terlibat dalam proses penulisan perlu memahami matlamat dan visi yang jelas. Penulisan bukan sekadar untuk berkongsi pengetahuan atau menyerlahkan ilmu baharu, tetapi juga untuk menyumbang kepada pelajar, berkolaborasi dengan industri dan kerajaan, serta berkomunikasi dengan masyarakat awam. Semua ini membentuk landasan kewibawaan, etika, dan kecemerlangan dalam penulisan ilmiah.
9. Mengulas dakwaan ‘Profesor Kangkung’ tersebut, APM melihat majoriti profesor melebarkan ilmu dan memperlihatkan kesarjanaan masing-masing. Sebilangan profesor dalam negara dan khususnya APM telah mendapat pengiktirafan sebagai pemeriksa luar oleh institusi pengajian tinggi luar negara, manakala beberapa di antaranya disenaraikan dalam kategori 2% teratas saintis dunia oleh Universiti Stanford. Ada yang dilantik untuk memimpin projek penyelidikan dan perundingan di peringkat antarabangsa, juga memimpin dan mengurus universiti di peringkat antarabangsa, sementara sebahagian lagi mendapat peluang sebagai pensyarah dan felo tamu di institusi pengajian tinggi di luar negara. Perkembangan ini juga menunjukkan peningkatan yang ketara dari tahun ke tahun.
Justeru, APM menekankan betapa pentingnya menghormati dan memahami kompleksiti kerjaya akademik, sambil memberikan tumpuan kepada bidang kepakaran, nilai sejati dan integriti. APM turut menyuarakan hasrat untuk memperkasa kewibawaan akademia melalui penyelidikan yang berkualiti, sumbangan kepada masyarakat, dan penilaian prestasi yang objektif.
Majlis Akademi Profesor Malaysia
2023/2025
7 Disember 2023
