Yang saya muliakan rakan-rakan profesor Felow Kehormat, para profesor Felow, para Ahli Profesor, dan Ahli Bersekutu Akademi Profesor Malaysia (APM).
Assalamualaikum wrwb, Salam Sejahtera, dan Salam Malaysia Madani.
Tahun baru 2024 menjelang tiba. Dengan berbesar hati dan rasa tulus saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua rakan-rakan yang bergabung dengan APM. Semoga kebaikan, kejayaan, dan kecemerlangan terus menyertai kita disepanjang tahun 2024 ini.
Sempena tahun baru yang sedang berlabuh ini, saya ingin mengambil kesempatan berkongsi beberapa pandangan perihal APM yang kita sama-sama anggotai dan dukung ini.
Saya fikir ada baiknya kita menyegarkan kembali pemahaman dan ingatan kita mengenai asas kehadiran APM di persada akademik negara. APM atau Pertubuhan Akademi Profesor Malaysia telah berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan pada 26 Mac 2019. Ia diwujudkan sebagai satu entiti atau Wadah Pemikir yang bebas, berwibawa, inklusif dan berpandu lunas-lunas demokrasi dalam struktur tata kelolanya. Pada asasnya ia berfungsi untuk menggembeleng dan mensistensis kepakaran para ilmuwan, khususnya komuniti profesor dalam negara, baik yang sedang berkhidmat mahupun yang telah bersara untuk turut terlibat secara bermakna dalam membangun kesejahteraan masyarakat dan negara melalui strategi dan pendekatan diluar KPI yang menjadi kelaziman institusi pendidikan tinggi di negara kita.
Pendekatan terpenting APM ialah fungsi membekal atau menyalur input-input dasar strategik yang berasaskan evidens (provision of evidence-based strategic policy inputs) kepada pihak pembuat kebijakan/dasar awam negara di pelbagai kementerian dan agensi. Juga kepada para pemegang taruh APM yang terlibat dalam pembangunan sosial, kesepaduan nasional, pembinaan negara bangsa, dan keadilan sosio-ekonomi.
Dua organ utama sebagai pelaksana misi utama APM ialah Kluster dan Domain Ilmu. Sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan APM, tumpuan fungsi Kluster ialah kepada isu-isu dasar utama yang bersifat "cross cutting" dan mempunyai implikasi atau kepentingan strategik kepada negara. Domain Ilmu pula menjurus kepada pengembangan dan inovasi Korpus Ilmu itu sendiri dan justeru itu ia berorientasi pembangunan ilmiah dan kesarjanaan, khususnya ditingkat pendidikan tinggi. Sukacita dinyatakan pengurusan baru APM sedang menyemak dan meneliti struktur Kluster dan Domain Ilmu agar ia benar-benar kondusif serta berkesan dalam mendorong keterlibatan dan peranan ahli-ahli APM bagi menjayakan fungsi-fungsi APM dan seterusnya dapat memastikan kerelevanan APM dari perspektif kumpulan sasaran, para anggotanya, serta komuniti ilmuwan pada amnya. Selain itu pengurusan APM juga komited untuk memastikan kelestarian fiskal dan kecukupan pendanaan untuk menjayakan pelbagai aktiviti yang dirancangkan. Dengan ini izinkan saya mengambil kesempatan menyeru segenap ahli APM serta para pemegang taruh turut membantu bagi memastikan keberhasilan aspek ini.
Rakan-rakan profesor yang dihormati. Seiring dinamika waktu, kita akan terus berhadapan dengan pelbagai tentangan baru, sama ada faktor-faktor dalam negara, serantau atau global. Antara cabaran semasa yang kita hadapi mencakup isu ketahanan atau kemandirian ekonomi, kelestarian dan tenaga terbarukan, keperluan kepada kayu-ukur "money metric" prestasi ekonomi makro yang mengintegrasi aspek kesejahteraan sosial dan ekologi, kedaulatan dan keterjaminan makanan, multifungsi pertanian yang tidak lagi berteras komoditi industri, kesenjangan ekonomi yang boleh menggugat keharmonian masyarakat, wibawa pendidikan tinggi, polemik pendidikan dan kesepaduan nasional, isu-isu kemanusian sejagat dan kegagalan fungsi institusi antarabangsa (international institutions failure). Kesemua ini menuntut para pemikir lebih menggandakan usaha (trivikrama), mempertimbang paradigma tradisional dan kerangka berfikir lama untuk merumus solusi serta imperatif dasar yang relevan dengan realiti semasa. Lebih penting dalam konteks APM ialah sejauhmana upaya kita untuk merungkai dan mencari solusi yang matang dan "exhaustive" secara bersinergi. Kita meyakini APM melalui kerangka Kluster dan Domain Ilmu menawarkan wadah yg terbaik kepada para ilmuwan ke arah ini.
Rakan-rakan APM yang budiman. Tentunya APM tidak memiliki "carrots and sticks" untuk menggerak instrumen Kluster dan Domain Ilmu bagi melaksana misi atau menjamin keterlibatan ahlinya. Justeru, anggaplah diri kita sebagai bahagian dari komuniti "sesepuh" negara yang merasa terpanggil, bertanggungjawab, dan proaktif, menyumbang bakti kepakaran dan khidmat secara tulus bagi menjayakan semua fungsi dan cita-cita mulia yang tertera dalam Perlembagaan tubuh APM, demi maslahat watan dan negara yang kita cintai ini jua.
Semoga tahun baru 2024 ini, dengan berkat kerjasama dan sinergi rakan-rakan profesor semua, wibawa dan kehadiran APM akan lebih terserlah di persada pendidikan tinggi dan juga arena formulasi dasar-dasar utama negara.
Sekian, terima kasih. Wabillahi taufiq walhidayah.
Wasalam,
Prof. Emeritus Dr Jamal Othman
Presiden
1 Januari 2024
