Penunjuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah sekian lama menjadi penanda aras kemajuan sesebuah negara di seluruh dunia. Kerajaan pada tahun 2025 telah mensasarkan pertumbuhan KDNK sebanyak 5.0%. Pertumbuhan ini akan dipacu oleh pelaburan strategik, pengurusan fiskal yang berhemah, serta peningkatan dalam perbelanjaan penggunaan. Namun, telah banyak dibahas bagaimana kerangka penunjuk KDNK gagal mengambilkira beberapa elemen krusial yang menyumbang atau memberi kesan kepada kesejahteraan negara dan masyarakat seperti kelestarian alam sekitar, agihan kekayaan, serta pelbagai manfaat dan kos sosial yang lain. Sebagai contoh, KDNK Malaysia telah meningkat daripada RM578.7 bilion pada tahun 2000 kepada kira-kira RM1.6 trilion pada tahun 2023. Ia didorong oleh peningkatan perbelanjaan penggunaan, aliran masuk pelaburan, dasar fiskal yang mengembang, dan perdagangan antarabangsa. Walaupun pertumbuhan ekonomi sedemikian telah berjaya meningkatkan pendapatan isirumah, infrastruktur awam, akses kepada pendidikan, serta penjagaan kesihatan, ia turut disertai dengan pelbagai cabaran-gejala seperti peningkatan hutang isi rumah, degradasi alam sekitar, permasalahan sosial, ketimpangan pembangunan wilayah, dan kesenjangan dalam agihan pendapatan. Degradasi kawasan hutan yang sensitif terhadap alam sekitar, pencemaran ekologi sungai, kehilangan biodiversiti, kadar jenayah dan sebagainya terus menimbulkan risiko ekologi dan keharmonian sosial yang boleh mengancam inisiatif pembangunan lestari negara. Begitu juga, nisbah hutang isi rumah kepada KDNK Malaysia mencecah 83% pada akhir Jun 2024, salah satu yang tertinggi di Asia Tenggara, menunjukkan bahawa tidak semua keuntungan ekonomi dapat diterjemahkan kepada keselamatan kewangan yang lebih baik untuk isi rumah di Malaysia.
Di atas adalah antara sebab mengapa langkah pelengkap kepada penunjuk GDP diperlukan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara semasa bersifat inklusif dan berjalan sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs). Sehubungan itu, Akademi Profesor Malaysia (APM) kini sedang menjalankan kajian mengenai Penunjuk Kemakmuran Tulen (GPI), yang menawarkan perspektif pengukuran prestasi ekonomi yang lebih menyeluruh dengan mengintegrasikan secara eksplisit dimensi ekonomi, sosial dan alam sekitar untuk memberikan penilaian yang adil, terintegrasi dan seimbang terhadap kemajuan negara. Sebagai contoh, peluasan perladangan kelapa sawit yang tidak berpandukan sistem pertanian lestari akan meningkatkan pertumbuhan KDNK melalui kegiatan nilai tambah dan eksport minyak sawit, tetapi pada masa yang sama menjejaskan GPI dengan mengurangi ketahanan perkhidmatan ekologi (contoh, fungsi tadahan air dari ekologi hutan, perkhimatan biodiversiti, dan perlindungan tanah permukaan) dan juga kesejahteraan komuniti setempat. Dengan menyesuaikan secara sistematik dimensi kesejahteraan yang sering diabaikan ini, GPI berusaha mendedahkan sama ada peningkatan output ekonomi seperti yang diserlahkan penunjuk KDNK benar-benar membawa kepada manfaat bersih dalam kesejahteraan negara atau, sebaliknya, menyembunyikan kos sosial dan alam sekitar yang semakin meningkat.
Dapatan kajian APM mendedahkan bahawa nilai GPI jauh lebih rendah berbanding KDNK. KDNK per kapita Malaysia pada tahun 2023 adalah RM44,638, manakala GPI per kapita hanya RM25,262 atau 57% daripada KDNK. Trajektori pertumbuhan GPI dan KDNK pada umumnya bergerak seiringan, menunjukkan bahawa turun naik faktor-faktor makroekonomi mempengaruhi kedua-dua KDNK dan GPI serentak. Krisis Kewangan Asia pada tahun 1997/98 berdampak lebih besar terhadap kesejahteraan ekonomi (GPI) akibat kehilangan pekerjaan dan peningkatan dalam ketidaksamaan pendapatan, manakala Krisis Kewangan Global pada 2009 lebih banyak menjejaskan pendapatan (KDNK) kerana ia lebih memberi kesan langsung kepada pasaran kewangan. Begitu juga, pandemik COVID-19 pada 2020/21 lebih banyak memberi kesan kepada dimensi pendapatan berbanding kesejahteraan keseluruhan. Ini kerana, walaupun terdapat pengurangan dalam perbelanjaan penggunaan, nilai komponen kesejahteraan daripada beberapa elemen sosial, seperti kos keretakan institusi keluarga dan kadar jenayah, bertambah baik apabila isi rumah dan ahli masyarakat secara umumnya dapat tinggal bersama atau mengurangkan mobiliti fizikal. Kesan alam sekitar dari pengurangan aktiviti ekonomi juga menjadi lebih rendah. Walau bagaimanapun pada 2021, GPI Malaysia mengalami kejatuhan yang signifikan berbanding KDNK berikutan memburuknya agihan pendapatan dan dampak luaran dari pengangguran.
Kajian ini mendedahkan bahawa pertumbuhan ekonomi Malaysia sering disertai kos sosial yang lebih tinggi berbanding kos alam sekitar. Sebagai contoh, ketidaksamaan pendapatan banyak membayangi manfaat daripada pengembangan ekonomi (KDNK), kerana keuntungan tidak diagihkan secara saksama dalam masyarakat. Namun begitu, degradasi alam sekitar, termasuk penebangan hutan dan pencemaran air/sungai, juga telah menghakis GPI negara dengan ketara.
Satu temuan yang sangat menarik dan membanggakan ialah kadar pertumbuhan tahunan GPI (6.2%) untuk keseluruhan tempoh kajian (1990-2023) adalah lebih baik berbanding KDNK yang tumbuh sekitar 5.1%. Berlawanan dengan intuisi umum, nilai kesejahteraan dari sumbangan pekerja surirumah tanpa upah didapati menyumbang secara signifikan kepada GPI. Ia dianggarkan bernilai RM49 billion pada 2023. Namun begitu, terdapat jurang GPI-KDNK yang semakin melebar disepanjang tempoh kajian. Satu lagi pemerhatian utama ialah pada beberapa tahun terakhir, terutama pasca Covid-19, tren nisbah GPI perkapita terhadap KDNK perkapita menjadi semakin mendatar atau statik, sedangkan trajektorinya pada umumnya menyokong pertumbuhan GPI di tahun-tahun sebelumnya. Ini memberi petanda atau amaran awal mengenai keperluan negara untuk menilai semula dasar dan strategi pembangunannya.
Dasar makro ekonomi yang berorientasikan perbelanjaan penggunaan sangat berkesan untuk pertumbuhan ekonomi dalam jangkapendek namun dalam jangkapanjang ia perlu diiringi peningkatan yang wajar dalam aspek kelestarian sumber alam sekitar dan dimensi sosial, terutamanya agihan pendapatan dan penciptaan peluang pekerjaan. Penggubal dasar perlu mengamalkan pendekatan yang lebih lestari, dengan menekankan tenaga boleh diperbaharui, pengagihan kekayaan yang saksama dikalangan warganya, dan pelaburan dalam infrastruktur sosial.
Berdasarkan dapatan daripada kajian GPI ini, terdapat keperluan yang jelas untuk Malaysia beralih daripada pertumbuhan berasaskan perbelanjaan penggunaan kepada corak penggunaan dan pengeluaran yang mampan. Ekonomi Malaysia yang berasaskan sumber dan kebergantungan kepada pelaburan asing langsung untuk memacu pertumbuhannya perlu diberi lebih ruang melalui insentif-insentif dasar yang inovatif untuk merangsang pembangunan dan aplikasi teknologi keluaran tempatan. Dalam konteks ini Malaysia Madani perlu menimbang dan disarankan mengguna pendekatan dan kayu ukur GPI yang menyerlahkan halatuju ekonomi yang menyerlahkan kepentingan dimensi ekonomi, alam sekitar dan masyarakat/sosial secara eksplisit dan saksama. Juga terdapat keperluan kepada kempen pendidikan masyarakat yang luas untuk membina kesedaran bagi mengubah tingkah laku pengguna kearah gelagat penggunaan pintar /lestari.
Mengintegrasikan GPI dalam agenda perancangan negara dapat memberikan gambaran yang lebih eksplisit dan seimbang mengenai manfaat daripada pertumbuhan dan proses pembangunan ekonomi. Ia dapat memandu pengagihan sumber ke sektor yang memaksimumkan manfaat sosial dan alam sekitar, seperti tenaga boleh diperbaharui, pertanian lestari, pengangkutan mesra alam, bandar lestari, penambahbaikan kesihatan awam serta peranan masyarakat madani.
GPI menawarkan peta jalan untuk mencapai kemajuan yang tulen, mampan dan inklusif. Justeru, GPI juga berfungsi sebagai penanda aras untuk menilai kesan jangka panjang terhadap formulasi dan pelaksanaan dasar-dasar pembangunan negara. Dengan mengutamakan formulasi dasar berpandukan penunjuk GPI, yang mengintegrasi dimensi ekonomi dengan kesejahteraan sosial dan alam sekitar, Malaysia dapat menjadi pemimpin dan contoh kepada negara lain. Ini memerlukan keyakinan dan tindakan kolektif daripada penggubal dasar, perancang ekonomi, sektor swasta, academia, dan masyarakat madani. Bersama-sama kita mentakrifkan semula apa yang dimaksudkan dengan kemakmuran atau kemajuan yang tulen serta membangun kayu pengukur yang diperlukan bagi memastikan kesejahteraan masa depan yang lestari untuk semua warga Malaysia.
Sekian, terima kasih
Prof. Emeritus Dr. Jamal Othman
Pengerusi Kluster Ekonomi, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Sosial
Akademi Profesor Malaysia
