Akademi Profesor Malaysia (APM) menyokong sepenuhnya cadangan YB Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi, untuk mengecualikan universiti awam daripada Akta 605, yang mengawal penjawat awam di Malaysia. Langkah ini adalah tepat pada masanya dalam usaha memastikan kebebasan akademik yang lebih bermakna kepada ahli akademik di universiti awam.
Sebagai wadah pemikir para profesor, APM percaya bahawa kebebasan akademik di universiti adalah asas kepada pembangunan intelektual dan inovasi. Pengecualian daripada Akta 605 akan memberi ahli akademik ruang untuk meneroka idea-idea baru, menghasilkan penyelidikan yang berkualiti, dan memberikan sumbangan bermakna kepada masyarakat dan negara tanpa halangan birokrasi yang tidak relevan dengan peranan unik mereka sebagai sarjana.
Selain kebebasan dalam penyelidikan dan pengajaran, APM juga menyokong kebebasan bersuara ahli akademik dalam memberikan pandangan mereka kepada negara. Sebagai cedekiawan negara, ahli akademik mempunyai tanggungjawab moral untuk menyuarakan pandangan yang kritikal dan berasaskan bukti bagi memastikan kesejahteraan negara dan sejagat. Kebebasan intelektual ini penting untuk membentuk dasar-dasar negara yang berteraskan fakta dan penyelidikan yang berkualiti, memastikan keputusan yang dibuat mengutamakan maslahat dan kepentingan masyarakat keseluruhannya.
APM berpandangan Akta 605, yang pada asalnya bertujuan untuk mengawal selia penjawat awam tidak relevan dengan kedudukan istimewa ahli akademik di universiti yang memerlukan kebebasan untuk berfungsi sebagai ejen perubahan dalam masyarakat. APM menggesa pihak berkuasa mempertimbangkan pengecualian ini demi memajukan pendidikan tinggi dan memartabatkan ahli akademik di Malaysia. Pengecualian ini juga akan mengangkat reputasi pendidikan tinggi Malaysia di peringkat antarabangsa.
Walaupun begitu, APM ingin menegaskan kebebasan yang diberikan harus disertai dengan tanggungjawab yang tinggi. Pandangan dan hasil kerja mestilah disampaikan dengan integriti yang utuh, berasaskan kepakaran, dan berdasarkan bukti yang sahih. Pengecualian daripada Akta 605 tidak seharusnya membawa kepada penyalahgunaan kebebasan, sebaliknya ia harus dihormati sebagai satu keistimewaan yang menuntut kebertanggungjawaban penuh terhadap hasil penyelidikan dan pandangan yang disuarakan.
APM komited untuk terus bekerjasama dengan kerajaan dan institusi pendidikan tinggi untuk memastikan ahli akademik di Malaysia menikmati persekitaran kerja yang kondusif, menyokong kebebasan intelektual sepenuhnya, selaras dengan nilai-nilai profesionalisme, integriti, dan kebertanggungjawaban.
Profesor Emeritus Dr. Jamal Othman
Presiden, Akademi Profesor Malaysia
25 Oktober 2024
