Akademi Profesor Malaysia (APM) mengambil maklum kenyataan YB Menteri Pendidikan Tinggi yang menyeru agar ahli akademik menumpukan kepada bidang kepakaran masing-masing serta berhemah dalam memberikan pandangan awam, khususnya dalam isu-isu di luar bidang kepakaran mereka.

APM juga menyedari perhatian masyarakat terhadap pelbagai kenyataan yang dikeluarkan oleh segelintir ahli akademik yang mungkin menimbulkan kekeliruan atau keresahan dalam masyarakat.

Sehubungan itu, APM berpandangan bahawa:
1. Tanggungjawab utama ahli akademik ialah untuk mengajar, menjalankan penyelidikan dan menyumbang ilmu dalam bidang kepakaran masing-masing dengan penuh integriti serta berpaksikan kepada bukti serta kaedah saintifik yang sahih.

2. APM juga berpandangan bahawa tidak salah bagi ahli akademik termasuk para profesor untuk menyuarakan pandangan dalam hal yang lebih luas di luar bidang kepakaran masing-masing asalkan pandangan tersebut dilontarkan secara berhemah, berpandukan ilmu yang sahih, mematuhi etika akademik dan tidak menimbulkan ketidakharmonian dalam masyarakat.

3. Etika akademik menuntut agar sebarang pandangan yang dikemukakan oleh ahli akademik disokong oleh bukti dan hujah yang kukuh, sama ada daripada hasil penyelidikan sendiri atau sumber-sumber ilmiah yang muktabar.

Selaras dengan itu, APM menegaskan bahawa:
1. Integriti dan proses saintifik adalah prinsip yang perlu dipertahankan. Para ahli akademik bertanggungjawab memastikan hasil penyelidikan dan pandangan mereka berasaskan bukti yang boleh dipercayai, boleh disemak dan memberi manfaat kepada masyarakat.

2. Peranan ahli akademik bukan sahaja menghasilkan ilmu, tetapi juga memastikan ilmu tersebut dikongsi dan digunakan dengan penuh tanggungjawab, mengambil kira implikasi etika serta kesan kepada pelajar, masyarakat dan negara.

APM menyeru semua ahli akademik khususnya para profesor untuk terus memainkan peranan penting dalam membina masyarakat yang berilmu, beretika dan berfikiran kritis, selaras dengan aspirasi negara menuju kemajuan berasaskan ilmu.

Majlis Akademi Profesor Malaysia
7 November 2025