Prof Datin Paduka Fatimah Mohamed Arshad
Nyata sektor pertanian dan makanan adalah sektor nadi kepada rakyat, pandemik atau tidak. Dikala sektor lain seperti pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan terencat oleh pandemik , sektor makanan walau parah masih mampu menyediakan makanan kepada rakyat.
Adakah Bajet 2021 mujarab menangani kegentingan yang dihadapi oleh sektor pertanian dan makanan? Untuk menjawab soalan ini kita serasikan dengan masalah yang dihadapi dan perbelanjaan yang telah diperuntukkan oleh kerajaan.
Permintaan ke atas makanan tidak terjejas dengan serius kerana ia adalah keperluan asas kehidupan. Di tahap awalan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), permintaan ke atas makanan terputus sebentar tetapi mula pulih apabila kelonggaran ke atas PKP dilaksanakan. Tetapi yang terjejas adalah pemakanan di kalangan pengguna yang berpendapatan rendah yang tidak mampu membeli makanan berkhasiat seperti susu, daging dan buah-buahan segar untuk anak anak dan yang berusia. Dari sudut ini kerajaan telah menyediakan bantuan kewangan untuk membantu mereka.
Namun dari sudut penawaran, sektor ini dilanda pelbagai kesulitan dan kekangan. Pertama, masalah kekurangan buruh asing kerana ramai yang kembali ke negara asal ketika PKP dilaksanakan. Mengikut Jabatan Statistik sektor pertanian mengalami kekurangan buruh 22% di bawah pandemik. Oleh kerana penanaman komoditi makanan adalah intensif buruh atau banyak menggunakan tenaga kudarat seperti kelapa sawit, getah, sayur-sayuran, tenusu, maka kekurangan buruh merendahkan produktiviti lantas pengeluaran.
Tahun demi tahun petani berdepan kenaikan kos pengeluran, tanpa putus, namun peningkatan hasil tidak serancak kos. Masakan tidak, semua input diimpot daripada baka ayam, lembu, benih sayur dan buah, baja dan racun, fid untuk ternakan, kacang soya, mesin dan peralatannya dan juga buruh. Maka harga input ini menari bersama harga dunia, lantas kita turut mengimport bersama barang ini, inflasi.
Namun dalam bajet tiada peruntukan untuk mengurangkan beban ini melalui bantuan pengurangan kos pengeluaran.
Pandemik adalah fenomena global. Hampir semua negara berdepan dengan masalah penguncupan ekonomi kerana kejatuhan permintaan apabila langkah mitigasi seperti “lockdown” dilaksanakan. Gejala ini menjejaskan pengeluaran input pertanian seperti fid untuk ternakan, baja dan input pertanian yang lain. Penternak ayam dan itik kini mengalami masalah untuk mendapatkan fid untuk ternakan mereka lantas menggunakan betik dan sagu untuk ternakan mereka.
Risko harga tak pernah terbendung oleh petani. Dikala harga getah atau kelapa sawit merudum, petani kita kehilangan punca, termasuk peneroka FELDA. Agensi atau korporat induk mereka seperti FELDA dan FGV mewah dengan keuntungan berjuta tetapi penurunan harga hanya 20% cukup untuk memiskinkan mereka, merencatkan penanaman seterusnya. Ke arah ini kerajaan telah melupuskan hutang peneroka FELDA dan memberi insentif pengeluaran kepada pekebun kecil getah. Masalah “perennial” sebegini memerlukan penyelesaian jangka masa panjang. Antaranya meningkatkan kapasiti produktif dan tabung yang dibiayai oleh petani sendiri. Antara model yang boleh difikirkan adalah dana penyetabilan dan bayaran kurangan. Iaitu dalam jangka waktu harga tinggi, sebahagian kecil keuntungan disimpan dalam tabung dana untuk musim tengkujuh atau harga turun.
Petani tahu akan kepentingan kepelbagaian kebun atau ladang dan sawah untuk meminimumkan risiko harga. Tetapi mereka berdepan dengan pelbagai rintangan untuk mempebagaikan tanaman, seperti kekurangan modal, tiada sokongan khidmat nasihat, masalah pemasaran, risiko pengeluaran dan sebagainya. Salah satu faktor yang menyebabkan kesangsian mereka kerana ketiadaan model kepelbagaian tanaman untuk dicontohi.
Untuk mempelbagaikan tanaman, insentif dan bantuan disediakan untuk membolehkan petani mempelbagaikan tanaman. Juga, dana perlu disediakan untuk beberapa projek pilot atau eksperimen perlu dilaksanakan untuk rujukan petani. Ini melibatkan R&D dan pengembangan.
Teknologi melonjak tinggi seperti pelaksana mata wang crypto, artificial intelligence, rantaian bekalan menggunakan block chain atau sokongan Internet of Things, tetapi semua ini tak sampai kepada petani kecuali whatsapp, sms dan internet. Salah satu faktornya adalah kelemahan barisan peniti antara teknologi dan petani adalah agen pengembangan. Berdasarkan maklumat dari Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) kebanyakan mereka memiliki diploma atau sijil sahaja. Maka tidak menghairankan petani kita ketinggalan jauh. Keluhan daripada pegawai pengembangan menyatakan mereka tidak diberi ganjaran dan elaun sengsara yang cukup untuk mereka menjelajahi petani di kawasan pendalaman. Ganjaran yang kecil melemahkan motivasi mereka dan juga kecekapan fungsi mereka.
Pegawai pengembangan adalah barisan hadapan pertanian untuk menyampaikan teknologi moden kepada petani, tetapi di kala ini terpinggir kerana tidak diberikan insentif kewangan yang mencukupi dan peruntukan latihan yang mencukupi.
Tahniah kerajaan memperuntukkan RM60 juta kepada Agrobank untuk IR4.0. Sangat tepat sekali tetapi jika kemahiran pegawai pengembangan tidak ditingkatkan, usaha ini tidak bermakna.
Semua kekangan di atas memerangkap petani dalam kemiskinan tahun demi tahun. Sejumlah 90% petani tergolong dalam B40 dan 75% pekebun kecil getah menerima pendapatan kurang RM2,750 sebulan. Peneroka FELDA masih berhutang kesan tadbir urus yang tidak jujur agensi dan korporat induk. Pemain hiliran seperti pengilang, pedagang, beberapa korporat induk meraih keuntungan yang lumayan. Dalam kata ringkas agihan keuntungan tidak setara antara peserta rantaian bekalan pertanian.
Bajet 2021 telah mengenalpasti beberapa penekanan yang bijak untuk menggalakkan pertanian komuniti, organik dan bandar dan beberapa insentif pengeluaran, pembangunan infrastrustur dan pelbagai lagi. Namun bajet akan lebih mantap dan lengkap jika kekurangan kritikal di atas dirangkumi.
Fatimah Mohamed Arshad
Datin Paduka Dr Fatimah Mohamed Arshad
Ketua Kluster Pertanian dan Sekuriti Makanan
Akademi Profesor Malaysia
8 November 2020
fatima@upm.edu.my atau ikdpm2009@gmail.com
