1. Akademi Profesor Malaysia (APM) mengikuti dengan prihatin perkembangan terkini mengenai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di mana 402,956 calon telah mendaftar untuk menduduki SPM dan seramai 5,377 calon (1.3% dari keseluruhan calon) dilaporkan terjejas akibat banjir.
2. APM mengambil maklum kenyataan Menteri Pendidikan YB Fadhlina Sidek bahawa Kerajaan Malaysia telah melakukan sedaya upaya usaha dengan mekanisme yang ada untuk mengurangkan impak banjir terhadap 5,377 calon SPM di kawasan terjejas agar mereka dapat menduduki peperiksaan bersama 397,579 orang calon di seluruh Malaysia.
3. APM dimaklumkan bahawa calon-calon SPM yang terjejas telah dipindahkan ke penempatan selamat bagi membolehkan mereka menjalani ujian bertutur Bahasa Melayu sepenuhnya tanpa ada yang tercicir. Pelajar-pelajar berkenaan turut diberikan kemudahan terbaik termasuk buku, internet dan komputer.
4. Proses pemindahan melalui Op Payung telah dilaksanakan dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) membabitkan antaranya Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pihak berkuasa polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
5. APM bersimpati dengan calon-calon SPM yang terganggu emosi akibat musibah banjir ini namun APM bersetuju dengan keputusan sukar yang terpaksa diambil Kerajaan Malaysia untuk meneruskan peperiksaan SPM dengan mengambil kira kesan dan impak rantaian yang bakal tercetus jika peperiksaan SPM ditangguhkan.
6. APM mengambil maklum pasca COVID-19, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang beransur-ansur menganjakkan permulaan sesi persekolahan ke bulan Januari semula. Sekiranya SPM ditangguhkan, ia akan memberi kesan kepada usaha ini termasuk impak rantaian terhadap kemasukan pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
7. Kesan penangguhan SPM akan melibatkan 99% calon yang tidak terjejas dengan banjir dengan rantaian yang lebih banyak termasuk emosi, logistik dan kewangan serta pelbagai kesan lain.
8. Pendekatan yang sesuai diambil ialah meneruskan peperiksaan SPM tetapi berusaha mempermudah urusan pelajar-pelajar yang terjejas untuk menduduki peperiksaan. Oleh itu, APM menyarankan beberapa perkara berikut:
a. Pihak KPM perlu memberi jaminan sekiranya terdapat calon yang tercicir peperiksaan ini akibat banjir, mereka diberikan peluang untuk menduduki peperiksaan gantian selepas musim bencana.
b. Khidmat kaunselor bertauliah diberikan kepada pelajar-pelajar yang terjejas terutama berkaitan gangguan emosi bagi memastikan mereka lebih bersedia menghadapi peperiksaan SPM.
c. Memastikan kebajikan dan persiapan peralatan peperiksaan seperti pakaian sekolah dan alat tulis dibekalkan segera kepada semua pelajar yang terjejas.
d. Memberikan bantuan kewangan dengan jumlah yang wajar kepada setiap calon pelajar SPM yang terjejas banjir bagi perbelanjaan urusan-urusan lain dan dikreditkan segera ke akaun pelajar-pelajar berkenaan.
9. APM mendoakan agar calon SPM yang diuji dengan musibah banjir diberi ketabahan, kesabaran dan kekuatan dalam menghadapi peperiksaan serta dipermudahkan dalam menjawab setiap soalan dengan baik dan lancar.
Profesor Ts. Dr. Zaidatun binti Tasir
Pengerusi Kluster Pendidikan dan Pembangunan Insan
Akademi Profesor Malaysia
5 Disember 2024
